Harga emas terendah sejak 2011

Gold coins are seen in the Austrian auction house Dorotheum in Vienna

KUALA LUMPUR 17 April – Harga emas dunia mencatat penurunan mendadak dalam tempoh enam bulan dengan kemerosotan harga lebih 20 peratus apabila didagangkan pada harga AS$44.3 (RM134) segram hari ini.

Harga komoditi berkenaan mencatatkan rekod tertinggi sepanjang tahun iaitu mencecah AS$60 (RM181.7) segram pada 2011 dan kemudiannya menunjukkan trend menurun kepada AS$50 (RM151) segram pada separuh pertama 2012.

Pada Oktober 2012, harga emas kembali bangkit untuk mencecah AS$57 (RM173) segram, namun momentum berkenaan tidak kekal lama sekali gus terus mencatatkan penurunan mendadak.

Harga emas didagangkan pada AS$54 (RM164) segram pada Januari tahun ini dan nilainya terus merosot dengan ketara bulan ini dengan mencatatkan harga AS$50 (RM151) segram pada 1 April dan kemudiannya jatuh lagi kepada AS$44 (RM133) segram.

Semalam komoditi berkenaan jatuh ke paras terendah sejak 2011 dengan didagangkan pada harga AS$43 (RM130) segram.

Penganalisis berpendapat penurunan berkenaan disebabkan oleh faktor kelembapan ekonomi China dalam tempoh tiga bulan ini sehingga menyebabkan industri emas dan besi berdepan dengan situasi sukar.

China merupakan negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dengan rekod pertumbuhan 7.7 peratus setahun namun semakin perlahan disebabkan banyak faktor.

Bagaimanapun, dari segi prestasi emas dalam tempoh 12 tahun sebelum ini, komoditi berkenaan mengekalkan rekod pertumbuhan tahunan positif untuk tempoh 12 tahun berturut-turut dan dalam perkiraan lima tahun kebelakangan ini pertumbuhan lebih 46 peratus dicatatkan.

Penganalisis berpendapat harga emas akan bangkit semula dari fenomena kejatuhan ini untuk mencatat pertumbuhan positif untuk tempoh sepanjang tahun ini.

Berdasarkan perangkaan ini, situasi kejatuhan harga emas, sekarang adalah masa terbaik untuk pelabur emas mengambil peluang meningkatkan pelaburan masing-masing.

Walaupun harga emas kadang kala tidak menentu, namun prestasi jangka panjangnya adalah lebih baik berbanding pelaburan dalam komoditi lain.